JM Beriani Restaurant hidang beriani gam enakBy Muhammad Rizanizam Abdul HamidDenagan aroma rempah ratus yang digunakan untuk menghasilkannya sudah cukup untuk memukat selera sesiapa sahaja bagi menikmati hidangan istimewa nasi beriani gam yang berasal dari Johor itu di JM Beriani Restaurant.
Disajikan bersama daging, ayam atau kambing beriani, dalca dan acar timun, ia pasti memberi kepuasan, apatah lagi ketika menjamahnya selepas baru dimasak dan masih panas. Justeru tidak hairanlah kelazatan menu istimewa dari Johor itu sering mendapat perhatian ramai malah menjadi 'buruan' setiap penggemarnya. Bagi kaki makan atau penggemar menu ini, sejauh mana pun tempat untuk menikmati juadah itu, ia tidak menjadi masalah, asalkan kepuasan dapat dipenuhi.
Kalau begitu, apa kat pada hujung minggu ini kita ke Shah Alam, Selangor untuk merasai kenenakan nasi beriani di JM Beriani Restaurant. Perniagaan itu diusahakan oleh sebuah keluarga yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
'Citarasa beriani Sebenar', itulah perkataan yang tertera di JM Beriani Restaurant yang terletak di tingkat bawah Pasaray Tesco Shah Alam dan sentiasa dipenuhi pelanggan pada setiap masa.
Menraiknya, menu istimewa restoran itu ialah nasi beriani gam ayam and kambing hanya dijual seminggu sekali pada setiap hari Rabu dan Sabtu membuatkan hidangan tersebut menjadi 'rebutan' di kalangan pelanggan. Pemilik JM Beriani Restaurant, Zulkifli Mustapa, 40, berkata, resepi nasi beriani itu dihasilkan oleh kedua-dua orang tuany yang mula berkecimpung dalam bidang katering sejak tahun 1986.
"Untuk menghasilkan hidangan nasi beriani gam, ia memerlukan kemahiran dan kepakaran yang tinggig tentang sukatan bahan dan cara penyediaan yang betul. Nasi beriani gam memang sukar untuk dihasilkan dan sebab itu di sini ia dijadikan menu mingguan. Saya sangat bersyukur dengan sambutan yang amat menggalakkan," katanya baru-baru ini.
Tambahnya, kerana permintaan yang tinggi, kebiasaanya pada setiap Rabu dan Sabtu, nasi beriani gam akan habis dijual sebelum pukul 2 petang. Mengenai rahsia kejayaan yang digunakan sehingga nasi beraninya menjadi pilihan ramai, Zulkifli berkata faktor kebersihan, harga, perkhidmatan dan kualiti adalah rahsia utama perniagaanya bagi memikat selera pengunjung.
"Selain itu, pengalaman saya sekeluarga dalam bidang catering selama hampir 20 tahun juga banyak membantu menaikkan nama JM Beriani Restaurant," katanya sambil memberitahu restoran yang pertama terletak di Seksyen 18, Subang Jaya.
Selain nasi beriani, pengunjung juga boleh memilih untuk menjamu selera dengan pelbagai masakan Johor seperti mi bandung, laksa Johor, rojak petis dan tauhu bakar. JM Beriani Restaurant di Tesco Shah Alam adalah cawangan pertama dan ia boleh memuatkan 100 orang pada satu-satu masa yang beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 9.30 malam.